AKTIVITI BAHASA....MARI BERCERITA
PENGENALAN
Dalam mendidik kanak-kanak prasekolah, guru perlu menggunakan pelbagai pendekatan, kaedah, teknik dan aktiviti yang sesuai dengan bakat serta minat kanak-kanak secara aktif supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna, berkesan dan menyeronokkan. Dalam proses mengendalikan aktiviti harian, guru boleh menggunakan pelbagai pendekatan seperti pendekatan bersepadu, pendekatan bermain sambil belajar dan pendekatan bertema. Berdasarkan kepada pendekatan tersebut pelbagai kaedah boleh digunakan oleh guru prasekolah. Antaranya ialah bercerita. Bercerita merupakan pendidikan informal dan ia amat rapat dengan dunia kanak-kanak.
Biasanya mereka didedahkan kepada pelbagai cerita melalui keluarga, rakan sebaya atau media massa. Kebanyakan cerita mengandungi pengajaran pembelajaran yang sesuai dengan nilai masyarakat. Bercerita juga dianggap sebagai satu cabang seni yang tertua dan merupakan sumber hiburan kepada masyarakat sejak dahulu lagi. Tradisi ini sebenarnya telah berkembang dari satu generasi melalui lisan. Cerita juga dijadikan media untuk menyampaikan pendidikan moral, malahan ia digunakan sebagai asas prabaca dan pratulis yang menjurus kepada perkembangan menyeluruh kanak-kanak.
TUJUAN BERCERITA
Aktiviti bercerita akan dapat memperkembangkan kemahiran berbahasa dan berkomunikasi. Kanak-kanak akan dapat diterapkan dengan nilai-nilai murni. Ia dapat membantu diri kanak-kanak supaya menjadi lebih kreatif dan inovatif apabila menghadapi sebarang masalah atau rintangan. Kanak-kanak akan menjadi lebih yakin dengan diri sendiri. Selain itu perbendaharaan kata kanak-kanak akan bertambah.
KEBAIKAN BERCERITA
Bercerita merupakan salah satu aktiviti yang berkesan kepada kanak-kanak kerana sudah menjadi lumrah kepada setiap kanak-kanak gemar mendengar cerita. Walau bagaimanapun tempoh masa bercerita perlulah bersesuaian dengan umur kanak-kanak tersebut.
Antara kebaikan bercerita ia dapat mempertingkatkan kemahiran mendengar. Kanak-kanak akan dilatih untuk mendengar perkataan dan bunyi suara atau peralatan. Secara tidak langsung kanak-kanak berkebolehan untuk membezakan segala perkataan dan bunyi yang didengar secara verbal dan non verbal. Kebiasaannya jalan cerita yang digunakan untuk bercerita kepada kanak-kanak adalah menggunakan perkataan mudah dan bahasa yang digunakan adalah bahasa yang berulang-ulang. Tujuannya adalah untuk memperkukuhkan daya ingatan dan memastikan perkara yang didengarinya dapat difahami dengan jelas.
Selain itu, kanak-kanak juga dapat mempertingkatkan kemahiran lisan dan berbahasa. Oleh kerana kanak-kanak sering meniru percakapan orang yang lebih dewasa daripada mereka, maka mereka juga akan meniru sebutan yang didengar dan beraksi mengikut aksi yang telah guru persembahkan. Kanak-kanak boleh mempertingkatkan perbendaharaan kata dan kosa kata mereka. Apabila kanak-kanak memanfaatkan kosa kata dalam komunikasi seharian mereka, dalam jangka masa yang panjang mereka sudah tentu dapat menyesuaikan diri dalam semua keadaan untuk bersosialisasi dengan semua peringkat umur.
Kemahiran berimaginasi akan timbul apabila mereka mendengar sesuatu cerita kerana sewaktu guru sedang bercerita, mereka akan membayangkan latar cerita, rupa watak dan situasi mengikut kefahaman mereka sendiri. Kanak-kanak juga akan dapat membina kefahaman budaya apabila mendengar sesuatu cerita kerana dengan bercerita, ia dapat mendidik dan menanam sikap menghormati amalan budaya pelbagai kaum di Malaysia.
Kefahaman emosi dapat dibentuk melalui bercerita apabila kanak-kanak menimbulkan reaksi, perasaan sedih, suka, simpati, terkejut dan sebagainya.Tujuan timbulnya reaksi sebegini adalah untuk mengajar kanak-kanak menguruskan dan menangani emosi negatif kepada positif. Di samping dapat memperoleh kefahaman emosi, kanak-kanak boleh menghayati keindahan alam yang terdapat di persekitarannya apabila mendengar dan melihat menerusi buku-buku bergambar.
PERSEKITARAN
Persekitaran yang selesa dapat membantu penghayatan kanak-kanak terhadap sesebuah cerita. Persekitaran ini tidak terhad kerana tidak semestinya guru perlu bercerita di dalam bilik darjah sahaja, tetapi ia boleh dilaksanakan di luar seperti di bawah pokok, di taman permainan atau ruang-ruang lain di persekitaran yang difikirkan sesuai. Selain itu, guru tidak semestinya perlu bercerita di luar kerana guru boleh menggunakan daya kreatifnya dalam mengubahsuai ruang dan susunan kerusi meja.
Cara untuk menyusun dan mengubahsuai sudut bercerita;
Guru boleh meletakkan sudut boneka dan menggantungkan mobail perhiasan seperti pokok bunga, rama-rama dan sebagainya untuk diletakkan di sudut bersesuaian.
Kedudukan pencerita dengan kanak-kanak boleh disusun dalam bentuk separuh bulatan secara langsung dapat mengawal kelas.
Guru perlu merancang lebih awal dalam memilih tempat yang paling sesuai dengan teknik dan peralatan yang digunakan. Sekiranya guru ingin menggunakan teknik lakonan atau drama yang bertajuk ‘rama-rama’, guru perlu menyediakan ruang cerita yang luas bagi membolehkan kanak-kanak bergerak bebas. Namun begitu, guru haruslah bijak mengawal tingkah laku kanak-kanak semasa melaksanakan aktiviti tersebut. Guru juga harus peka dalam menentukan masa dan situasi kerana aktiviti bercerita yang dilaksanakan di luar bilik darjah tidak sesuai dilakukan pada waktu tengah hari.
PEMILIHAN CERITA
Cerita yang disediakan harus menarik minat kanak-kanak serta memberi kesan positif kepada mereka. Cerita tersebut perlu mempunyai kriteria seperti mempunyai nilai-nilai murni dan mesej. Tema yang dipilih perlulah mudah, menarik dan sesuai dengan peringkat perkembangan serta minat kanak-kanak. Bahasa yang digunakan dalam bercerita juga seharusnya mudah untuk difahami, banyak pengulangan perkataan dan ayat-ayatnya perlulah pendek.
Tujuan pengulangan ayat adalah untuk adalah untuk menggalakan kanak-kanak dapat menghafal dan menambah kosa kata bahasa. Cerita yang disampaikan sebaik-baiknya dapat merangsang minda kanak-kanak untuk mencetuskan idea kreatif apabila guru secara tidak langsung melibatkan kanak-kanak dalam sesuatu cerita berbentuk drama. Watak yang terdapat dalam cerita haruslah boleh dicontohi dan cerita tersebut bersifat universal.
PENYAMPAIAN CERITA
Kemahiran bukan lisan (non verbal) haruslah dikuasai oleh guru terlebih dahulu agar kanak-kanak berasa seronok untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaranyang disampaikan. Ekspresi muka perlulah sesuai dengan emosi yang digambarkan dalam cerita seperti terkejut, marah dan gembira. Hubungan mata antara pencerita denganpendengr juga perlu diwujudkan bagi menekalkan perhatian kanak-kanak serta mengawal kelas.
Kemahiran dalam menggerakkan anggota badan tertentu dapat menjelaskan isi cerita. Oleh itu guru digalakkan untuk bercerita sambil menggerakan anggota badan tetapi haruslah tidak keterlaluan. Pencerita atau guru perlu peka terhadap reaksi kanak-kanak. Segala bentuk halangan atau gangguan terhadap tumpuan kanak-kanak hendaklah diatasi agar tidak berpanjangan.
TEKNIK PENYAMPAIAN
Teknik yang dilaksanakan perlulah bersesuaian dengan kebolehan kanak-kanak .Masa yang digunakan untuk becerita haruslah tidak terlalu panjang sehingga membosankan kanak-kanak.Ruang dan suasana yang kondusif juga dititikberatkan dalam menyampaikan sesuatu cerita. Persekitaran juga perlu bersih dan hiasan sudut bercerita sebaiknya disediakan berkaitan dengan tema.
Peralatan cerita yang menarik digunakan untuk menarik minat pendengar. Bentuk dan jenis cerita harus ringkas dan mempunyai mesej yang jelas serta bermakna. Kemampuan pencerita perlulah pada tahap yang tinggi untuk mendapat perhatian dari pendengar. Kepelbagaian teknik yang digunakan dapat merangsang minat kanak-kanak untuk mendengar cerita dengan lebih berkesan. Teknik yang berkesan dapat membantu kanak-kanak dalam memperkembangkan bahasa, emosi, fizikal, pengetahuan dan komunikasi.
BERCERITA BERDASARKAN GAMBAR BERSIRI
Cerita ini disampaikan menggunakan siri gambar yang berturutan. Gambar tersebut berkesinambungan dengan cerita yang ingin disampaikan. Situasi penting yang terdapat di dalam sesuatu cerita ditonjolkan dalam setiap keping gambar dan haruslah bersesuaian dengan jalan cerita. Gambar bersiri boleh menarik perhatian kanak-kanak kerana mereka suka melihat gambar. Ia boleh mempertingkatkan daya pengamatan dan kemahiran mendengar.
Ketika menyampaikan cerita, pencerita tidak perlu memandang bahagian depan kad untuk melihat gambar kerana pada bahagian belakang setiap kad ditulis isi-isi penting cerita bergambar tersebut.Semasa bercerita, pencerita akan duduk di kerusi dan mengadap kanak-kanak di lantai. Set gambar yang ingin dipamerkan tidak melebihi paras dada dan dipegang pada jarak lebih kurang setengah meter di depan pencerita.
No comments:
Post a Comment